Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang bagi sebutan di atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi. Foto SADIQ SANI, 11 JUN 2024

SEPANG : Mahkamah Sepang  hari ini menetapkan 25 Julai sebagai tarikh pengurusan dan sebutan kes bagi pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), April lalu.

Prosiding hari ini didengari di depan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh baru untuk pengurusan kes berikutan laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang masih belum lengkap.

Sebelum ini, Hafizul mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan di KLIA pada 14 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tujuh anak itu didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md Isa, 38.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan senjata iaitu pistol yang boleh menyebabkan kematian.

Mohd Nur Hadith adalah pengawal peribadi isteri tertuduh.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette