NIBONG TEBAL – Seorang lelaki maut dalam kolam fiber kertas ketika melakukan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat di sebuah kilang pembuatan kotak di sini semalam.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, siasatan awal pegawai penyiasat JKKP di lokasi mendapati warga tempatan berusia 41 tahun itu turun berseorangan untuk mencuci paip tersumbat di dalam kolam itu yang tertangguh hampir dua minggu.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak dapat dikesan dan penyelia bersama dengan beberapa pekerja berusaha mencari lelaki itu sebelum semakan kamera litar tertutup di lokasi menunjukkan dia telah masuk ke dalam kolam pukul 3.38 petang.
“Mangsa hanya ditemui pukul 10.40 malam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Susulan itu, kita lawat lokasi serta telah mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut sehingga siasatan selesai,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, pihak JKKP juga telah mengarahkan majikan melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan untuk membuat pembentangan kes.
“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan saksi yang dikenal pasti dan mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil.
“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette