Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menerima ancaman Bom ketika tinjauan Malaysia Gazette di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen syarikat Pasadana Travel and Tours selama lapan bulan 12 hari berkuat kuasa mulai 20 April 2024 sehingga 31 Disember 2024.

Penggantungan lesen syarikat ini adalah selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah subseksyen 8(1)(b).

Akta itu menetapkan pengusaha pelancongan berlesen yang melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah lesen, mana-mana peruntukan akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan telah dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian, subseksyen 8(1)(d)
iaitu telah menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

MOTAC berkata, dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.

Dalam tempoh penggantungan ini juga, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat.

Sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lessen, katanya. – MalaysiaGazette