Miroslav Kuljanac.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac tidak mahu kesilapan sama berulang apabila berdepan Kuching City FC untuk aksi kalah mati pusingan 16 Piala FA, Jumaat ini.

Selepas seri 1-1 dengan lawan sama pada perlawanan pertama Liga Super tempoh hari, Kuljanac berharap setiap pemain melaksanakan tugas dengan lebih bijak dalam misi menempah tiket ke suku akhir Piala FA tanpa melakukan kesilapan mudah kali ini.

Bahkan dia juga perlu bersedia dengan pelan B memandangkan kecederaan yang dialami oleh tonggak utama, Kamal Azizi yang mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan.

Selain tujuh pemain yang terlibat dengan skuad kebangsaan termasuk pemain import, Patrick Reichelt yang pastinya perlu kembali cergas selepas selesai tugasan.

Apa yang pasti, Kuljanac sedar ia bukanlah perlawanan yang mudah untuk anak buahnya memandangkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini semakin licik dan apa sahaja boleh berlaku dalam aksi kalah mati nanti.

“Kalau kita tengok aksi Liga Super, kami seri dan selepas itu kalah dengan pasukan hebat (Johor Darul Ta’zim) dan kami sebenarnya boleh jadi lebih baik daripada itu.

“Tetapi anda sendiri tahu kita ada enam pemain tempatan dan seorang pemain import yang bermain untuk skuad kebangsaan, jadi semuanya tujuh pemain yang tiada dengan kita sekarang selain pemain yang cedera.

“Jadi, saya nak tengok untuk minggu ini bagaimana keadaan mereka dan berharap masih ada masa untuk semua pemain kembali dan kekal cergas untuk beraksi dengan kelab.

“Apa pun, memang ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang Kuching City, tetapi dalam masa sama kita boleh perbaiki beberapa taktikal termasuk kesilapan individu yang tidak boleh diulangi lagi dalam aksi itu nanti.

“Sekarang pemain-pemain lain sudah semakin serasi antara satu sama lain dan sudah tentu kita akan bekerja keras lagi,” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia, di sini.

Enam pemain yang sekarang ini bersama skuad Harimau Malaya adalah Azri Ghani, Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli, Zhafri Yahya, Brendan Ghan dan Declan Lambert manakala Reichelt beraksi untuk skuad kebangsaan Filipina. – MalaysiaGazette