Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki dan seorang bayi perempuan meninggal dunia disyaki selepas memakan mihun dan telur goreng yang dibawa balik dari satu program di sebuah sekolah di Gombak, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata,  mangsa pertama dalam kes keracunan ini melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Mangsa dilaporkan mengalami cirit-birit selepas makan makanan yang dibawa balik oleh ibunya pada Sabtu lalu dari program yang dihadiri di sekolah berkenaan.

Selain mangsa, ibu dan bapanya juga mengalami cirit-birit.

Semalam, kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri menyebabkan bapanya menghubungi MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika di Hospital Kuala Lumpur.

Noor Ariffin berkata, dalam kejadian kedua, seorang bayi perempuan berusia dua tahun mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit pada jam 10.45 pagi, semalam.

Sebelum itu, mangsa juga telah diberi makanan dari program sekolah berkenaan oleh bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ.

“Mangsa didapati mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan Hospital Selayang,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampiil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 dan Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Khalpna A/P Rajandhiran di talian 012-5018901 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.