GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat produk dijual menerusi satu platform beli belah dalam talian Shein yang memasuki negara ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap mendedahkan pihak berkuasa Bandaraya Seoul baru-baru ini, bahawa produk kanak-kanak yang dijual dalam platform itu mengandungi bahan kimia toksik tinggi.
Jelas beliau, pihak berkuasa Seoul menjalankan pemeriksaan sejak bulan lalu turut mendakwa kebimbangan keselamatan semakin meningkat mengenai produk yang dijual oleh platform e-dagang China itu.
“Maklumat terkini mendedahkan bahawa tujuh daripada lapan produk yang diuji daripada Shein mengandungi formaldehid dan ftalat melebihi had keselamatan.
“Sepasang kasut kanak-kanak mengandungi ftalat melebihi had yang dibenarkan sebanyak 428 kali.
“Ftalat digunakan sebagai pemplastik, tergolong dalam kumpulan bahan kimia yang mengganggu endokrin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, pendedahan kepada jumlah ftalat yang tinggi memudaratkan sistem pembiakan, neurologi dan perkembangan manusia, dengan kanak-kanak menjadi lebih rentan.
Katanya, formaldehid yang diserap melalui kulit boleh mengakibatkan ketoksikan sistemik yang teruk, membawa kepada asidosis metabolik, kerosakan tisu, organ serta koma.
“Seiring dengan situasi itu, CAP menggesa pihak berkuasa supaya segera menjalankan ujian keselamatan produk yang dijual di Shein kerana ia didapati mengandungi bahan kimia yang sangat berbahaya.
“Kita juga menasihatkan pengguna supaya sentiasa cuci pakaian baru sebelum memakainya untuk menyingkirkan lapisan kimia toksik selain elak membeli daripada jenama yang tidak telus mengenai proses pembuatannya,” katanya. – MalaysiaGazette