KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lapan individu di sini dan Sabah kerana dipercayai bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Penahanan tersebut melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam.

Mereka yang ditahan di Kuala Lumpur membabitkan tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah pula melibatkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 17 Jun ini terhadap lima suspek lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Selain itu, erintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun depan terhadap tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas permohonan dibuat SPRM hari ini.

Menurut sumber, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

“Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah ‘genuine’ daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023,” katanya.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah.

Katanya, susulan penahanan itu, SPRM menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – MalaysiaGazette