Program Johor Youth Meetup By Orang Muda Johor (OMJ) di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri baru-baru ini. Foto FB HRH Crown Prince of Johor

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Ismail mencadangkan mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya dapat menentukan keperluan sendiri seperti yang dilakukan oleh negeri Sarawak.

Titah baginda, Di Sarawak, yang berkuasa adalah parti Sarawak.

“Di Johor, ada PKR, ada  UMNO, ada PAS, macam-macam. Kenapa awak tak buat Gabungan Bangsa Johor saja?

“Apabila kamu bergabung dan bersatu, kerajaan pusat tidak boleh lagi pekakkan telinga sebab kamu akan menjadi kingmaker,” titah baginda dalam Program Johor Youth Meetup By Orang Muda Johor (OMJ) di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri baru-baru ini.

Menurut baginda, jika gabungan ini diwujudkan maka senario politik, kepentingan dan pembangunan negeri ini adalah keputusan rakyat Johor sendiri, bukan orang lain.

“Kalau awak semua bersatu dan tak ikut mana-mana senario atau sentimen mana-mana parti politik tetapi jaga hasil dan kepentingan negeri, insya-Allah negeri Johor ini akan maju,” titah Pemangku Sultan Johor.

Baginda berpendirian, potensi Johor memang hebat tetapi apa yang lebih hebat dan lebih baik adalah keputusan mesti dijaga dan dibuat oleh orang Johor, bukan Putrajaya.

“Kalau ada gabungan anak-anak Johor, katakanlah gabungan negeri Johor, yang menjaga kepentingan negeri macam mana Sarawak buat, insya-Allah kita tengok dari segi kemajuan dan pembangunan Johor boleh maju. Itu saya guarantee (jamin).

“Tidak ada orang boleh jaga kita, kita jaga diri kita, tumpukan pada negeri kita. Kita perlu laksanakan sekarang,” titah baginda.

Melihat Sarawak sebagai contoh, Tunku Ismail bertitah Sarawak menikmati pelbagai manfaat disebabkan pemisahan kuasa antara negeri dan Persekutuan.

“Sarawak hari ini, macam-macam bargain dia dapat daripada kerajaan persekutuan. Sebab apa?

“Pertama sekali saya kena minta maaf pada menteri besar, ahli politik daripada mana-mana parti politik, kerana di Sarawak yang berkuasa adalah parti Sarawak sendiri,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette