Universiti Sains Islam Malaysia.

TIDAK dinafikan, bahasa Inggeris sangat “berkuasa” hari ini bukan hanya kerana statusnya sebagai lingua franca tetapi juga bahasa teknologi yang menguasai dunia. Namun, dalam konteks Malaysia, kita masih diuji dengan kurangnya kepetahan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Malah, kita juga tidak lali kritikan dengan tahap penguasaan sesetengah pegawai yang pernah dibincangkan suatu masa dahulu. Apapun, kefasihan berbahasa perlukan penggunaan yang konsisten, dan penggunaannya itu sendiri adalah latihan yang menjadi jambatan kepada penguasaan sesuatu bahasa.

Maka, tanpa menyalahkan sesiapa mahupun persekitaran, kita perlu menyediakan ruang berbahasa asing kepada para pelajar yang ingin didedahkan dengan ruang dan peluang tersebut. Kami mengambil contoh di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk berkongsi strategi peningkatan penguasaan bahasa Inggeris yang digunakan oleh para pensyarah di universiti ini berdasarkan pengalaman salah seorang penulis yang merupakan tenaga pengajar bahasa Inggeris di USIM.

Sebagai sebuah universiti yang mengarusperdanakan pengajian Islam, para pelajar di USIM majoritinya adalah pelajar daripada aliran agama. Kekuatan USIM dari aspek ini ialah dikurniakan dengan para pelajar yang taat dan bersahsiah tinggi, menghormati guru dan istiqamah menuntut ilmu. Dalam pada itu, aspek bahasa asing merupakan antara cabaran bagi sesetengah pelajar yang mungkin kurang pendedahan dan penggunaan bahasa terutamanya bahasa Inggeris.

Maka para pensyarah dan guru bahasa Inggeris memasang strategi dan amalan tertentu untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa asing ini. Antaranya ialah membincangkan dengan pelajar-pelajar tentang ilmu aqli (acquired knowledge) yakni ilmu bahasa Inggeris itu sendiri dengan ilmu naqli (revealed knowledge). Pembacaan doa-doa, ayat-ayat al-Quran dan hadis dilakukan juga dalam bahasa Inggeris supaya mendekatkan pelajar dengan bahasa yang dianggap asing oleh sesetengah pelajar. Dalam amalan ini, bukan hanya amalan tersebut diambil kira sebagai satu latihan, tetapi juga nilai praktiknya iaitu sebutan yang tepat dan betul, serta pemahaman dalam bahasa Inggeris yang berupaya dihayati.

Usaha ini sedikit sebanyak menghasilkan generasi pelajar yang memahami bahasa Inggeris dalam konteks yang lebih dekat dengan budaya dan amalan mereka. Peluang dan ruang disediakan untuk menghilangkan rasa kekok dan membina keyakinan dalam menuturkan dan mempersembahkan kemahiran mereka di ruang yang disediakan seperti speaker’s corner. Melalui speaker’s corner, keyakinan bercakap meningkat terutama dalam usaha mengurangkan ketakutan dan kebimbangan bertutur dalam bahasa asing.

Dari segi sejarahnya, amalan speaker’s corner pertama kali diadakan di Hyde Park, London. Beberapa tempat diwujudkan sebagai corner di taman ini yang memberi ruang individu untuk bebas berkongsi menerusi komunikasi awam. Kemudian, konsep ini turut dilaksanakan di negara-negara lain di dunia. Hari ini, antara negara yang melaksanakan speaker’s corneradalah Australia, Kanada, Indonesia dan termasuklah Malaysia. Speaker’s Corner yang pertama di Malaysia diwujudkan di Pulau Pinang pada 2010.

Berbalik kepada usaha penguasaan bahasa Inggeris yang dilakukan di USIM. Usaha-usaha ini nampaknya membuahkan hasil, sekurang-kurangnya dalam konteks USIM. Misalnya, para pelajar Program Bahasa Inggeris iaitu program Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Perdagangan yang ditawarkan memupuk pelajar-pelajar yang bukan sahaja mahir dengan bahasa ini, tetapi juga kompetitif dalam bidang mereka. Kesediaaan pelajar-pelajar ini dibuktikan dengan graduan-graduan awal yang dipinang oleh majikan-majikan dari syarikat dan bank ternama sebelum graduasi mereka berlangsung.

Selain itu, program English Language and Cultural Immersion (ELCI) di USIM menjadi acara tahunan yang menawarkan program bahasa Inggeris berimpak tinggi bagi pelajar antarabangsa. Program ini turut dihadiri oleh peserta dari Thailand bagi beberapa tahun kebelakangan ini. Ia juga bakal dihadiri pelajar dari Jepun dalam masa terdekat yang menunjukkan program bahasa Inggeris yang ditawarkan universiti tempatan menjadi pilihan warga serantau.

Kualiti Program Bahasa Inggeris seperti program ELCI yang sehingga menjadi pilihan di peringkat serantau ini menunjukkan kualiti produk universiti awam yang boleh terus diangkat dan digilap. Kita tidak menafikan, usaha memperkasakan bahasa Inggeris dilakukan di semua IPT di Malaysia dan USIM adalah salah satu yang berusaha ke arah penggunaan konsisten dan kelestariannya.

Ini selari dengan dasar pendidikan iaitu pemerkasaan bahasa Inggeris boleh diteruskan dengan lebih giat lagi di peringkat pengajian tinggi agar dapat melahirkan graduan yang berdaya saing untuk menyertai dunia pekerjaan sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa kelak. Kepetahan dan penguasaan bahasa Melayu tidak pernah dilupakan,menjadikan graduan kita graduan holistik yang berkeupayaan tinggi bersaing di peringkat
global.

Oleh: Dr Habibah Ismail
Pensyarah Kanan,
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
USIM

Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan, Program Komunikasi,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast