Majlis Pembudayaan Inovasi Buluh Rakyat bersama penduduk Kampung Baru Sungai Senam anjuran Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM)

SERDANG – Inovasi buluh yang diperkenalkan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Perhutanan dan Produk Hutan (Introp) berjaya menarik minat komuniti Kampung Baru Sungai Senam dalam penggunaan buluh sebagai sumber alternatif yang lestari.

Seramai 120 peserta telah menyertai Majlis Pembudayaan Inovasi Buluh Rakyat bersama penduduk Kampung Baru Sungai Senam anjuran INTROP UPM, di sini, baru-baru ini.

Pengarah INTROP, Prof. Ir. Ts. Dr. Khalina Abdan berkata, penyertaan komuniti dalam majlis itu memberikan peluang kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) khasnya untuk memperkenal dan mempromosi inovasi buluh.

“Pendedahan ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan dan industri tanaman ladang selain memperkukuhkan lagi hubungan dan jalinan kerjasama bersama komuniti untuk saling bertukar pandangan.

“Program ini juga akan membuka peluang untuk jaringan perkongsian ilmu dan inovasi teknologi buluh antara peserta serta pakar industri dalam menyokong usaha Introp memperkasa komuniti melalui inovasi teknologi buluh,” katanya.

Program itu turut mempamerkan teknologi buluh, sesi perkongsian ilmu, dan demonstrasi praktikal.

Dalam pada itu, komuniti Kampung Baru Sungai Senam juga telah membuat demonstrasi rawatan buluh serta jalur buluh yang membawa kepada lebih banyak inovasi dan peningkatan dalam teknik penanaman serta pemprosesan buluh di Malaysia. – MalaysiaGazette