Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga Mac 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan 107,105 pendaftaran ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian kepada 16.1 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.6 juta adalah ahli aktif 1 , yang kini mewakili 50% daripada 17.1 juta tenaga buruh Malaysia.

Peningkatan ini berikutan Ekonomi Malaysia yang kukuh, memacu pasaran buruh yang berdaya tahan dengan kadar pengangguran jatuh kepada 3.3% pada S1 2024, daripada 3.5% bagi tempoh yang sama tahun lepas.

KWSP berkata, pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 20,080 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar seramai 608,433.

Malah, jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM25.83 bilion pada S1 2023 kepada RM29.13 bilion pada S1 2024.

Pada suku yang dikaji, KWSP juga mengekalkan nisbah ahli aktif dengan tidak aktif pada 53:47 bagi S1 2024, selaras dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dengan 8.6 juta ahli aktif daripada jumlah keseluruhan keahlian sebanyak 16.1 juta.

Dalam pada itu, KWSP berkata, bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor informal dan pekerja gig mendapat liputan perlindungan sosial, KWSP terus memperluaskan liputan i-Saraan bagi membolehkan pekerja dalam sektor informal atau tanpa pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP demi persaraan mereka, di samping menerima insentif kerajaan.

Sepanjang S1 2024, i-Saraan telah merekodkan pendaftaran baharu sebanyak 146,171, seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan keahlian i-Saraan meningkat 43.9% kepada 1.4 juta, daripada 997,659 pada suku yang sama tahun lepas.

“Peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang memilih untuk menyimpan dengan KWSP dan ahli semasa yang membuat caruman sukarela, menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan disokong oleh dasar Malaysia Madani yang kukuh,” kata

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP akan terus meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan dan jangkaan yang semakin berkembang daripada ahli dan majikan, serta membina prestasi portfolionya berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) jangka panjangnya. – MalaysiaGazette