Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Kilometer 141.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Seberang Jaya di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Shahrul Munawer Taharem@Tahrin berkata, pihaknya menerima panggilan panggilan kecemasan membabitkan kemalangan tersebut pada jam 11.44 malam.

“Sebaik tiba kita dapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan terdapat seorang mangsa lelaki didalamnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 54 tahun itu terbabas ke dalam longkang dan impak kemalangan itu menyebabkan dia terperangkap dalam kenderaan tersebut.

Difahamkan, mangsa tidak memakai tali pinggang keledar menyebabkan dia terpelanting ke bahagian tempat letak kaki penumpang hadapan.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette