KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM2.6 trilion pada tahun 2023 dengan nilai eksport RM1.4 trilion dan import bernilai RM1.2 trilion.

Lima negeri – Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak mencatatkan sumbangan 80.9 peratus daripada jumlah perdagangan pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport pada tahun 2023 bernilai RM1.4 trilion, menurun sebanyak 8.0 peratus berbanding RM1.6 trilion pada tahun sebelumnya.

Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM31.9 bilion), Selangor (-RM21.2 bilion), Sarawak (-RM20.3 bilion), Pulau Pinang (-RM20.2 bilion), Sabah (-RM17.8 bilion), Labuan (-RM7.5 bilion), Perak (-RM5.1 bilion), Pahang (-RM3.0 bilion), Melaka (-RM2.4 bilion), Terengganu (-RM1.7 bilion) dan Perlis (-RM134.1 juta).

Bagaimanapun, eksport meningkat di Kedah (+RM6.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM418.7 juta), Negeri Sembilan (+RM369.4 juta) dan Kelantan (+RM354.6 juta).

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4 peratus, diikuti oleh Johor (20.3%), Selangor (17.7%), Sarawak (7.8%) dan Kuala Lumpur (4.6%).

Pengukuhan eksport disokong oleh produk litar elektronik bersepadu terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.

Selain itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor manakala gas asli cecair (LNG) merupakan penyumbang utama eksport di negeri Sarawak.

Mohd Uzir berkata, import pada tahun 2023 mencatatkan penurunan sebanyak 6.4 peratus atau RM82.3 billion berbanding tahun sebelumnya.

Penurunan import dipengaruhi oleh import yang lebih rendah bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM43.8 bilion), Johor (-RM13.9 bilion), Selangor (-RM9.9 bilion), Kedah (-RM7.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM4.5 bilion), Sarawak (-RM3.3 bilion), Perak (-RM2.7 bilion), Labuan (-RM1.3 bilion), Melaka (-RM923.3 juta) dan Perlis (-RM132.8 juta).

Bagaimanapun, import meningkat di Kuala Lumpur (+RM5.1 bilion), Pahang (+RM1.9 bilion), Terengganu (+RM1.0 bilion), Kelantan (+RM246.3 juta) dan Sabah (+RM209.3 juta).

Selangor mendominasi import negara dengan sumbangan 26.6 peratus, diikuti oleh Johor (22.4%), Pulau Pinang (20.7%), Kuala Lumpur (7.6%) dan Kedah (5.4%).

Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Johor disumbangkan oleh keluaran petroleum bertapis.

Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah manakala kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori merupakan penyumbang utama import di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette