Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan yang dilemparkan oleh peguam-peguam dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Lawyers of Liberty (LFL) berkaitan siasatan kes penyelewengan kutipan dana sebuah Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC).

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab SPRM sebagai agensi penguat kuasa antirasuah untuk menjelaskan perkara yang sebenar dan menolak tohmahan pihak-pihak yang sedang disiasat.

Dalam kenyataanny, SPRM berkata, pihaknya telah menerima aduan pada sekitar penghujung Mei 2024 daripada penduduk di sebuah kawasan di Damansara bahawa dana kutipan pengurusan dan penyelenggaraan oleh pihak JMC itu dipercayai telah diseleweng.

Hasil siasatan awal mendapati ada asas disyaki berlakunya perkara tersebut berdasarkan laporan berkaitan kos guaman oleh pihak JMC berkenaan yang tidak diisytiharkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, SPRM telah melancarkan satu operasi pada 4 Jun 2024 dengan pihak yang disyaki terlibat telah ditahan dan direman bagi maksud siasatan kerana beliau merupakan antara suspek
utama.

“Fokus siasatan adalah di bawah Akta SPRM 2009 serta pecah amanah dan bukannya untuk mendapatkan maklumat daripada anak guam.

“Oleh yang demikian, tidak timbul isu pihak penguat kuasa campur tangan atau berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang, seperti yang didakwa oleh LFL,” ujarnya.

Sebagai agensi penguat kuasa, SPRM dikuatkuasakan dengan Akta SPRM 2009, Seksyen 31: Kuasa untuk Memeriksa dan Meggeledah dan Menyita dan di bawah seksyen ini, seseorang pegawai SPRM, berdasarkan maklumat ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki sesuatu kesalahan di bawah akta ini telah berlaku, boleh memasuki atau memecah buka mana-mana premis, mencari, menyita dan mengambil milik apa-apa buku, dokumen, rekod akaun, atau data, dan menahan mana-mana orang yang ditemui dalam premis.

Oleh itu, SPRM berpandangan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang sedang disiasat adalah tidak berasas dan seolah-olah bertujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan dan sebagai agensi penguat kuasa antirasuah utama negara, SPRM tidak akan tunduk kepada sebarang usaha untuk menghalang atau mengganggu siasatan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan. – MalaysiaGazette