Foto: APMM

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan tiga bot nelayan Vietnam dengan cara menenggelamkannya bagi dijadikan tukun di perairan Pulau Kapas, Marang, dekat sini hari ini.

Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, tiga bot dengan nilai pelupusan RM800,000 itu ditahan pihaknya antara 2022 hingga tahun lepas.

“Dengan tiga bot yang ditenggelamkan ini, APMM Terengganu telah melupuskan sembilan bot nelayan Vietnam sejak Januari hingga hari ini melibatkan nilai dianggar RM1.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, APMM menggunakan dua kaedah pelupusan iaitu musnah pecah dan tenggelam untuk dijadikan tukun.

“Di Terengganu, kami telah melupuskan empat bot nelayan secara pecah musnah pada 19 April lepas membabitkan nilai RM450,000, manakala dua bot lagi ditenggelamkan pada 30 April dengan nilai pelupusan RM400,000,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, keseluruhannya, setakat ini 111 bot nelayan Vietnam telah dilucut hak dan dilupuskan sejak 2020 dengan RM27.5 juta anggaran nilai perolehan asal bot.

“Ada baki tujuh bot nelayan asing yang telah mendapat kelulusan pelupusan dan akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya. – Bernama