Muhaizad (baju bunga) dan Amirul Mukmin didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Dua jurujual didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kutipan wakaf al-Quran tidak wujud dengan menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat pada 7 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muhaizad Haris, 30, dan Amirul Mukmin Mohd Ridhuan, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah mencapai niat bersama untuk menipu seorang wanita berusia 38 tahun secara bersemuka dengan menyamar sebagai staf dalam urusan kutipan derma wakaf al-Quran tidak wujud dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan RM20 di mana beliau tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Perlis di sini pukul 3.30 petang pada 7 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Masing-masing didenda RM600 dan gagal bayar dipenjara sebulan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan.

Ketika prosiding Lushani mencadangkan agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran dan teladan kepada kedua-dua tertuduh namun, dalam rayuan YBGK memohon hukuman minima atas atas kedua-dua tertuduh bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan bulan RM1,500 selain masing-masing mempunyai tanggungan anak.

Majistret sebelum memberikan hukuman meminta kedua-dua tertuduh menyatakan tujuan mereka melakukan kutipan wakaf tersebut.

“Kenapa kamu buat ini dan sehari berapa jumlah kutipan?” soal beliau dan kedua-dua tertuduh memaklumkan mampu menjana kutipan RM100 sehari.

Wang tersebut dikumpul untuk dijadikan modal bagi membuka syarikat yang melakukan urusan sama.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM600 terhadap tertuduh dan jika gagal bayar dipenjara sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast