Datuk Dr. Zulkifle Al Al-Hafiz

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sedang mengkaji pelupusan Al-Quran menerusi kaedah ‘deinking’ atau melunturkan dakwat daripada bahan-bahan bercetak pada permukaan kertas.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, ia melibatkan penilaian kewajaran penggunaanya sejajar dalam perkembangan teknologi digital masa kini selain faktor kos operasi.

“Teknologi baru yang sedang diusahakan, belum dilaksanakan sepenuhnya lagi, baru percubaan untuk mendapatkan pendekatan baru bagaimana melupuskan Al-Quran tanpa membakarnya iaitu ‘deinking’ dengan menghilangkan dakwat.

“Kertas-kertas tadi boleh dikitar semula mungkin untuk kegunaan cetakan Al-Quran atau pun bahan-bahan berkait Al-Quran atau apa sahaja yang dapat kita jaga kemurniaan bekas-bekas Al-Quran,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, kaedah baru itu mampu menjimatkan kos selain melestarikan alam sekitar menerusi kaedah kitar semula bahan-bahan kertas yang telah dinyahdakwatkan.

Sementara itu, beliau berkata, JAIP merancang untuk membina dua pusat mini pelupusan al-Quran bagi memudahkan umat Islam melupuskan bahan yang mengandungi ayat al-Quran dengan kaedah yang betul.

Ujarnya, umat Islam perlu didedahkan dengan kaedah yang betul untuk melupuskan kitab suci itu bagi menjamin kemuliaannya.

Zulkifle berharap orang ramai yang ingin melupuskan Al-Quran yang sudah usang dan reput mengumpulkan bahan itu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) terdekat atau pusat pelupusan dan pemuliaan Al-Quran yang terletak di Chenor dan Pekan.

“Kita tidak menggalakkan lupuskan Al-Quran sendiri kerana kita bimbang jika bahan tersebut tidak diurus dengan baik.

”Tetapi boleh diurus sendiri juga contohnya dibakar dan ditanam di tempat yang selamat daripada laluan orang ramai supaya tidak hilang tanda penghormatan kita terhadap Al-Quran,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Proses pelupusan 10 tan abu al-Quran di perairan Laut China Selatan