Peguam kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd Moin bercakap kepada wartawan sebaik saja tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA – Datuk dan nenek Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan polis semalam dijangka akan dibebaskan pagi ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam mewakili mereka, Fahmi Abdul Moin ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini.

“Berkaitan tangkapan datuk dan nenek Zayn Rayyan saya dimaklumkan kedua-dua mereka akan dilepaskan pada pagi ini tidak tahu pukul berapa mereka akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan jamin,” katanya.

Kedua-dua mereka ditahan semalam selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.

Fahmi berkata, penahanan mereka adalah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu menurut beliau, ibu bapa Zayn Rayyan boleh didakwa di bawah peruntukan lain selain Seksyen 302 KK.

“Boleh saya boleh pastikan itu (Berdasarkan bukti bolehkah didakwa di seksyen lain selain 302),” tambah beliau.

Sebagai rekod, ibu bapa kanak-kanak autisme yang maut pada Disember tahun lalu direman 13 hari sejak 1 Jun lalu.-MalaysiaGazette