Kesilapan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam peta yang dikongsi Proton.

KUALA LUMPUR – Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung kesilapan melabelkan negeri Sabah dan Sarawak di dalam peta.

Menurut Proton, pihaknya akan lebih berhati-hati pada masa depan dan berterima kasih terhadap perhatian serta sokongan yang diberikan oleh rakyat terhadap syarikat tersebut.

“Kami amat menyesali kesilapan yang mungkin telah menimbulkan perasaan sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Proton menjunjung tinggi perpaduan dan kepelbagaian Malaysia dan kami komited untuk menghormati dan meraikan semua negeri secara sama rata.

“Kami memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan menghargai sebarang maklum balas daripada orang ramai,” kata Proton dalam kenyataan.

Sebelum itu, tular di media sosial kedudukan Sabah dan Sarawak dalam peta yang dikongsi oleh Proton bertukar tempat.

Dipercayai, peta Malaysia itu dipaparkan di skrin ketika pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia, e.MAS yang dianjurkan oleh Proton.-MalaysiaGazette