Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain

KUALA LUMPUR – Polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) susulan penularan dokumen yang didakwa merupakan laporan siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang sedang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyifatkan laporan tersebut berisiko mengganggu perbicaraan kes kelak dalam masa yang sama memberi tanggapan salah dalam kalangan masyarakat.

“Siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah selesai dengan pendakwaan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 semalam.

“Bagaimanapun jika ada perkembangan semasa perbicaraan yang menjurus kepada Seksyen 302 dan pihak pendakwaraya boleh mengarahkan polis untuk menjalankan siasatan di bawah seksyen tersebut,” katanya.

Sementara, beliau mengesahkan polis kini sedang bagi mengesan individu yang menularkan dokumen tersebut.

Semalam Suhaily berkata, pihak pendakwaan memutuskan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin dituduh di bawah Akta Kanak-Kanak selepas perbincangan dijalankan di antara Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ dan Pejabat Peguam Negara.

Sehubungan itu beliau memohon orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes berkenaan.-MalaysiaGazette