Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan turun bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan alasan beliau tidak turun berbuat demikian.

“Tidak, tidak (turun PRK Sungai Bakap),” katanya kepada media selepas selesai solat Jimaat di Masjid Al-Uum hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas pertanyaan media samada beliau akan turun berkempen bagi calon Perpaduan, Dr Joohari Ariffin.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum itu sempat makan tengahari di Restoran De Salai bersama penduduk di sini hari ini.

Ini kali kedua Anwar tidak turun berkempen sejak PRK DUN Kuala Kubu Baharu, bulan lalu.

Rabu lalu, kerajaan menamakan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari sebagai calon bagi PRK Sungai Bakap 6 Julai depan.

Pemilihan itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara malam Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette