Perkhidmatan UMP tersedia di 354 fasiliti kesihatan KKM.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kiplepay melancarkan sistem pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP).

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan sistem kesihatan bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengunjungi fasiliti kesihatan.

Perkhidmatan UMP yang beroperasi sejak tahun 2011 penting dalam memastikan pesakit menerima ubat yang ditetapkan secara langsung di rumah mereka dan memudahkan pematuhan kepada ubat-ubatan yang ditetapkan.

Bagi tempoh Julai-Disember 2023, UMP dan Pos Malaysia telah menghantar lebih daripada 348,501 bungkusan preskripsi, menekankan peranannya yang penting dalam menyokong inisiatif sistem kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ciri pembayaran dalam talian yang diperkenalkan baru-baru ini, yang diintegrasikan melalui gerbang pembayaran Pos Malaysia ke dalam aplikasi MyUBAT KKM, membolehkan pesakit membuat pembayaran yang selamat dan mudah dari mana-mana sahaja.

Sistem ini menyokong pelbagai kaedah pembayaran, termasuk kad kredit dan debit serta perbankan dalam talian,
memastikan proses transaksi yang lancar bagi semua pengguna.

Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia berkata, dengan mengintegrasikan teknologi pembayaran canggih ini ke dalam perkhidmatan UMP dengan lancar, syarikat sedang menyusun semula operasi dan memastikan akses yang mudah bagi kemudahan semua.

Sementara itu , Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Norhaliza A. Halim berkata, pengenalan pilihan pembayaran dalam talian melalui Kerjasama ini bukan sahaja sejajar dengan matlamat transformasi digital, tetapi juga meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara.

“Ia memudahkan proses bagi pesakit kami, yang kebanyakkannya bergantung pada perkhidmatan penting ini untuk keperluan perubatan bulanan
mereka,” katanya.

Perkhidmatan UMP tersedia di 354 fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan di seluruh negara. – MalaysiaGazette