Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara profesional berhubung kematian kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Disember lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kebocoran maklumat kes yang tular sejak semalam berisiko mencipta sentimen negatif sekali gus menganggu siasatan pihak berkuasa itu.

“Dalam perkara ini beri ruang kepada pasukan polis, nanti dikatakan bocor maklumat dan sebagainya dan ia mengubah atau mencipta sentimen tentang tanggapan di pihak masyarakat dan itu memang mengganggu siasatan pasukan polis.

“Di satu sisi masyarakat terbanyak mahu pasukan polis menyegerakan dan membawa keadilan. Pada masa yang sama, ada juga media massa dengan memetik kebocoran di sana sini yang dikatakan, mendedahkan kepada komen.

“Pasukan polis tidak boleh berada dalam suasana seperti itu. Jadi buat masa sekarang mereka fokus menjalankannya secara profesional. Itu ulasan saya,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Beliau juga menyeru supaya masyarakat menggunakan maklumat daripada sumber berwibawa daripada pihak berkuasa untuk rujukan.

“Apa pun yang menjadi panduan kita biarlah daripada sumber yang authoritative. Maksudnya apa jaminan berulang kali yang diberi pasukan polis, baik IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain) atau Pengarah CID (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain)dalam kes adik Zayn Rayyan.

“Peristiwa itu sudah berlaku beberapa bulan yang lepas dan dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang dibuat tentulah dalam proses ini pihak polis dalam apa sahaja penemuan bukti baharu, body, motif, senjata digunakan, dia (polis) akan tengok bukti bukan sahaja bukti fisikal tapi yang berkaitannya juga dilihat,” katanya lagi.

Sejak semalam, tular di media sosial tentang pembocoran fakta kes yang didakwa berkaitan pembunuhan kanak-kanak berkenaan.

Shuhaily hari ini berkata, Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran maklumat tersebut.

Tegas beliau, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, pihaknya akan menghubungi suruhanjaya itu bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.

Mengulas lanjut Saifuddin menyerahkan kepada pasukan polis untuk menangani tindakan terhadap kebocoran maklumat seperti yang didakwa berlaku.

“Bila jadi begitu, pasukan polis ada prosedur operasi standard (SOP). Kalau perlu siasat. Kalau betul dakwaan kebocoran, dia (polis) ada kaedahnya untuk kesan dan sebagainya. Biar polis lakukanlah tugas itu,” katanya ringkas. -MalaysiaGazette