Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang mendakwa seolah-olah wujudnya gerakan memberi kewarganegaraan secara ‘borong’ apabila ada wakil rakyat yang menganjurkan program penerangan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab. 

Sebaliknya menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai wakil rakyat yang menerima pelbagai aduan, permohonan berkaitan kewarganegaraan antara salah satunya yang sering disuarakan rakyat.

Bagaimanapun katanya,  ia bergantung kepada wakil rakyat menggunakan cara yang sesuai untuk membantu termasuk memberi penerangan  berhubung proses dan prosedur yang melibatkan undang-undang.

“Di pusat khidmat itu kadang-kadang pengetahuan asas berkenaan susur galur, proses permohonan sehingga mendapatkan warganegara itu, berkaitan Seksyen 14 15 16 19, semua perkara dalam Perlembagaai Persekutuan tak ramai petugas pusat khidmat atau wakil rakyat sendiri  mempunyai kefahaman betul.

”Jadi bagaimana? Kadang kita selesaikan secara piecemeal (sedikit demi sedikit). Ada aduan, kita (wakil rakyat) buat surat recommendation (cadangan), hubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk panjangkan permohonan.

“Ada juga di kalangan wakil rakyat yang terima permohonan banyak, mereka ambil inisiatif terangkan tatacara. Jadi itu tugas wakil rakyat. Jangan di ‘cloud’ kan seolah-olah bahawa ini gerakan tersusun untuk beri kewarganegaraan secara borong. Pemberian itu pula dikatakan kepada (orang) Cina,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis.

Saifuddin dalam masa yang sama turut menyelar tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan tindakan DAP mengadakan program taklimat untuk kewarganegaraan adalah bahaya umpama sedang ‘membakar’ negara.

“Yang buat (tuduhan) itu wakil rakyat juga, Pasir Mas kalau tak silap. Dia tak buat kerja? Pusat khidmat dia tak pernah dapat permohonan? Kenapa mesti disuntik elemen seperti itu? Itu sangat tidak bertanggungjawab sebingga memberi gambaran nilai warganegara murah.

Ini (akan) menyusahkan pemohon yang betul-betul layak. Isu itu saya fikir tak patut dipolitikkan sama sekali dan beri ruang wakil rakyat jalankan tugas sesuai mereka dilantik,” katanya lagi.

Baru-baru ini, tular poster penganjuran program taklimat kewarganegaraan yang mengundang pelbagai pandangan negatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang, Andrew Chen Kah Eng seterusnya menerusi muat naik di laman Facebooknya, memaklumkan taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun ini, ditangguhkan.

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas kemudian menganggap program taklimat untuk kewarganegaraan itucadalah bahaya umpama sedang ‘membakar’ negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast