NIBONG TEBAL – Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Eksekutif logistik itu juga merupakan bekas pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Allahyarham Nor Zamri Latiff.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis pengumuman calon PRK di Simpang Ampat di sini malam ini.
Ketika berucap, Tuan Ibrahim berkata, calon tersebut adalah paling tepat memandangkan beliau mengenali semua kerja Allahyarham dan percaya mampu menggalas tanggungjawab sama seperti Nor Zamri sekiranya diangkat menjadi wakil rakyat kelak.
“Abidin juga adalah anak tempatan yang dilahirkan di Kampung Sungai Duri dan mendapatkan pendidikan awal serta menjadi pengundi DUN Sungai Bakap serta Parlimen Nibong Tebal,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.
Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette
Kami bukan suka dgn calon PN…tp tak kan nak undi calon Rapizi bengap kaki kencing tu plak…hadoiii tak ada choice laaa