Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lelaki yang dikehendaki pihak polis bersabit kesalahan di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 diberkas polis pada 12 Jun lalu dalam keadaan mencurigakan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata, lelaki tersebut ditangkap semasa pemeriksaan oleh cawangan kereta peronda (MPV) di Sungai Buloh -Kepong pada jam 9.53 malam.

Rekod lelaki berkenaan dikesan melalui nombor kad pengenalan oleh Pusat Kawalan (DCC) IPD Petaling Jaya.

“Telah ditahan sebuah kereta jenis Nissan Navara yang dinaiki seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan pada kenderaan tidak menjumpai apa-apa barang salah,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, lelaki tersebut dibawa ke balai polis untuk rakaman percakapan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pihak polis menegaskan sentiasa komited dan menasihatkan kepada orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan mahupun spekulasi yang tidak tepat agar tidak menimbulkan kegusaran awam.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah atay orang yang mencurigakan, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya. – MalaysiaGazette