Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) bersalaman dengan bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (kiri) pada Majlis Konvensyen Barisan Nasional Negeri Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) akan mengatur strategi bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu bulan depan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata beliau optimis Kerajaan Perpaduan, mempunyai peluang yang baik untuk meraih kemenangan berikutan jumlah majoriti 1,563 undi yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Negeri Ogos lepas, tidak terlalu besar.

“Kita perlu bekerja secara tersusun dengan strategi yang baik. Insya-Allah kita mempunyai peluang yang baik.

“Kita sudah mengadakan pertemuan pertama iaitu mesyuarat pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang fokus kepada (PRK) Sungai Bakap pada minggu lepas, dan kesemua (parti)  komponen dalam kerajaan memberi komitmen untuk kita turun bersama-sama membantu calon,” katanya selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Terengganu di sini hari ini.

Pada Rabu, bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dari PKR diumumkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK tersebut dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu Zambry berkata beliau telah meminta BN di semua negeri, untuk mengambil langkah proaktif memberi penjelasan terhadap dasar dan tindakan Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai medium, bagi mengelakkan sentimen negatif dalam kalangan rakyat.

“Kita perlu memberikan maklum balas dan penjelasan bahawa langkah yang dibuat kerajaan pada sesuatu perkara adalah kerana kerajaan memikirkan implikasi pada masa akan datang dan reaksi awal ini kita perlu tangani.

“Jadi inilah saya lihat pendekatan yang diambil BN Terengganu ini, iaitu kita tahu sentimen yang ada maka kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikannya,” katanya.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here