PUTRAJAYA – Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) mesti sentiasa dinamik, progresif serta bersedia melalui proses perubahan seiring peredaran zaman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peranan pendidikan KAFA sangat relevan dalam mendokong aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan berakhlak tinggi.
“Kita harus sedar landskap pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Anak-anak murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar memiliki modal insanyang berkualiti dan berakhlak mulia.
“Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK 2023 dan Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Menurut Fadillah, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai usaha melahirkan anak-anak murid KAFA yang cemerlang dan kompeten untuk mencapai standard kualiti yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, para guru juga perlu melakukan anjakan paradigma dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu.
“Ini terutamanya dalam usaha merangsang minda, menguji daya kreativiti dan inovasi, mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan mengasah ketajaman penaakulan (reasoning) para murid. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).
“Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak- anak. Ibu bapa perlu sentiasa prihatin akan pembelajaran anak- anak secara berterusan ketika berada di rumah,” katanya lagi.
Sementara itu, Fadillah berkata, amalan urus tadbir KAFA perlu dipertingkatkan bagi membantu usaha melengkapkan nilai modal insan cemerlang.- MalaysiaGazette