Abidin (tiga dari kanan) diumumkan sebagai calon mewakili PN pada PRK Sungai Bakap.

NIBONG TEBAL – Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail nekad akan meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Bapa kepada dua cahaya mata yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau yakin kerusi Sungai Bakap kekal dengan PN sebagai mengekalkan momentum Pilihan Raya Negeri lalu.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan PN kerana beri kepercayaan dan amanah kepada saya sebagai calon PN dalam PRK Sungai Bakap.

“Jika saya dipilih oleh rakyat Sungai Bakap, saya akan meneruskan legasi arwah (Nor Zamri), saya masih terbayang kenangan rapat dengan arwah sebagai pegawai khasnya.

“Saya percaya pengalaman yang ditimba selama sembilan bulan sebagai pegawai khas arwah  mampu kekalkan kemenangan PN di Sungai Bakap,” katanya pada majlis pengumuman calon PRK PN di Simpang Ampat di sini, malam tadi.

Rabu lalu, Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Dr. Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding PRK DUN Sungai Bakap.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. 

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. 

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette