Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang maut selepas dirempuh sebuah kereta terbabas di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, Melaka, awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas memasuki laluannya dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Syazwan Chairuddin, 28, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kereta dari arah Sungai Udang menuju ke Masjid Tanah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta jenis Toyota Yaris dipandu lelaki berusia 20 tahun itu telah bertembung dengan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah motosikal serta kereta lain dari arah hadapan.

“Mangsa kemudian disahkan maut ditempat kejadian oleh petugas perubatan manakala mangsa lain dan pemandu Toyota selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, terdapat rakaman video papan pemuka dan saksi dalam kejadian itu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebagai operator Petronas di Tangga Batu.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette