Presiden OBORCC, Datuk Seri Tan Thian Lai

KUALA LUMPUR – Lebih banyak syarikat dari China menyatakan hasrat untuk mempelajari industri halal Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC), Datuk Seri Tan Thian Lai berkata, ini kerana pensijilan halal di Malaysia dilihat antara yang terbaik di dunia.

“Kebanyakan syarikat meliputi industri makanan dan minuman (F&B), farmaseutikal, serta kosmetik di China mula sedar kepentingan pensijilan halal ini.

“Mereka (syarikat China) melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang amat menitik beratkan piawaian halal dalam setiap produk yang dihasilkan.

“Bagi mereka, ia satu peluang yang baik untuk mendalami piawaian halal ini bagi produk yang dihasilkan,” katanya.

Pensijilan Halal Malaysia yang dikelola oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama daripada 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Tan berkata, terdapat beberapa syarikat yang bersedia untuk melabur dalam menyediakan fasiliti penyediaan dan pembungkusan barangan halal di negara ini.

“Pasaran halal ini amat luas dan tidak terhad kepada 1.4 billion rakyat China sahaja, kerana kebelakangan ini masyarakat bukan Islam sudah tahu kepentingan halal dalam produk yang digunakan.

“Disebabkan itu rakan perniagaan dari Guandong, Shanghai dan Beijing mula menyatakan hasrat untuk membuka kilang mereka di Malaysia agar mudah produk halal yang dikeluarkan mereka dipantau JAKIM,” jelasnya.

Beliau berharap lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia- China yang bermula Selasa ini akan memberi manfaat buat kedua-dua negara dalam memperkasakan industri halal dunia.

Saiz pasaran halal global diunjur mencecah USD9.71 trilion menjelang 2025 dan pembangunan ekonomi negara Islam seperti Indonesia, Arab Saudi, Iran dan Pakistan juga semakin memuncak, ia berupaya merangsang jangkauan pasaran produk halal pada tahun-tahun mendatang. – MalaysiaGazette