Monday, June 24, 2024
Home Sukan Hadir ke stadium, Faisal kota janji tidak menyorok lagi

Hadir ke stadium, Faisal kota janji tidak menyorok lagi

Faisal bersama bapa dan anaknya hadir memberi sokongan moral kepada pasukannya dalam perlawanan Piala FA Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya, semalam. Foto Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mengotakan janji untuk bangkit dan tidak mahu lagi menyorok selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Semalam, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey mula membuang trauma itu selepas muncul di tempat duduk penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyaksikan pasukannya menentang Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA.

Bapanya, Halim Saad, turut berdiri bersama-sama barisan kesebelasan utama ketika menyanyikan Lagu Negaraku.
Khamis lalu, Faisal membuat kemunculan pertama di khalayak selepas mengadakan sidang di Selangor Training Centre di Shah Alam.
Ketika itu, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan dia mahu menjalani kehidupan seperti orang lain selain semangatnya untuk kembali bermain bola sepak selepas insiden pahit itu.

“Saya sudah mula berlatih ringan, kayuh basikal di rumah. Datuk (Datuk Seri Shahril Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC) pun macam tak percaya semangat yang saya ada.

“Saya ingin ke arah turun berlatih tetapi dengan keadaan saya ditempatkan di lokasi rahsia, jadi sampai bila saya nak menyorok daripada orang ramai.

Faisal Halim hadir memberi sokongan moral kepada pasukannya dalam perlawanan Piala FA Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya, semalam. Foto media sosial,

“Saya beritahu kepada Datuk saya bersedia untuk tonjolkan diri saya kepada semua supaya saya bebas dan tak berselindung lagi.

“Saya nak menjalani kehidupan seperti biasa seperti manusia lain, seperti orang lain seperti pemain lain. Saya harap dapat kembali ke arena bola sepak secepat mungkin dengan doa anda semua,” katanya pada sidang media itu.

Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Seterusnya pada 25 Mei lalu, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.
Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya. – MalaysiaGazette