GEORGE TOWN – Tewas 0-1 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri pada perlawanan keempat Liga Super malam tadi, nyata memberikan tamparan hebat buat Penang FC apatah lagi bakal berdepan pasukan sama dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, minggu depan.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu bertekad akan memastikan pasukannya bangkit memberikan persembahan yang lebih baik, sekali gus mengubati kekecewaan penyokong setia yang mahu melihat pasukan mereka memperoleh kemenangan sulung, selepas tiga kali seri pada perlawanan liga.

Akmal mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian serangan, selain kesilapan kecil oleh pemain hingga menyebabkan mereka gagal mendapatkan penyudah terbaik, meskipun mencipta banyak ruang dan peluang untuk menghasilkan jaringan.

“Pemain telah lakukan tugas dengan cemerlang namun sedikit kealpaan, kesilapan menyebabkan kita dihukum dengan kekalahan pada malam ini (semalam).

“Berdasarkan keputusan tersebut, sudah tentu banyak kelemahan yang akan kita baiki untuk menjelang perlawanan sekali lagi menentang Kedah (Piala FA), jadi kita perlu merencanakan dengan baik bagi memastikan kita berpeluang mencipta sesuatu untuk layak ke separuh akhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 42 tahun turut mengakui, ketiadaan penyerang import dari Brazil Rodrigo Dias akibat kecederaan sedikit sebanyak menjejaskan persembahan pasukan, namun berharap pemain itu akan dapat kembali beraksi memandangkan dia sudah pulih walaupun masih belum cukup cergas.

Namun, beliau optimis pemain itu dapat diturunkan bagi menerajui barisan serangan memandangkan masih ada tempoh masa seminggu lagi sebelum perlawanan.

Sementara itu, pengendali KDA FC Nafuzi Zain berpuas hati dengan keputusan yang berpihak kepada pasukannya sekali gus memberikan semangat dan suntikan moral kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan akan datang.

“Penang FC memberikan ancaman kepada KDA FC sepanjang 90 minit permainan berlangsung, namun kemenangan berpihak kepada pasukan dan tiga mata ini penting kerana ia membuka peluang untuk kita bersaingan dengan pasukan teratas (liga).

“Begitu pun, banyak yang perlu dilakukan untuk memperbaiki permainan, kita ada masa seminggu untuk berlatih sebelum Piala FA minggu depan,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, penyerang gantian dari Ghana Ebenezer Assifuah menjadi wira KDA FC selepas menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-78, sekali gus menyaksikan Penang FC menghadapi kekalahan pertama selepas tiga kali seri sebelum ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast