SUNGAI BESAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan sebuah kenderaan jenis Honda Accord terbabas dan memasuki parit di Jalan Panchang Bedena, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan jalan raya itu daripada orang awam jam 6.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati benar ada kemalangan jalan raya di lokasi.

“Komander operasi melaporkan terdapat kenderaan Honda Accord terbabas masuk ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis juga mengesahkan insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan mangsa berjaya keluar sebelum ketibaan JBPM.

“Orang awam melaporkan bahawa mangsa selamat keluar sebelum pihak bomba sampai ke lokasi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jarak antara lokasi kejadian dengan balai bomba terdekat kira-kira 8 kilometer.

“Lokasi kemalangan kira-kira 8 kilometer dari Balai Bomba Sungai Besar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette