Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hasrat tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Indonesia tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam serbuan di Telok Gadong, Kuala Langat, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd.Nor@Saleh berkata, tangkapan dijalankan susulan maklumat yang diterima polis kira-kira jam 1 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kemudiannya telah bergegas ke lokasi itu.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua lelaki dan lima wanita warga asing berumur antara 29 hingga 51 tahun sedang berkumpul serta berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya menerusi kenyataan, harui ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, semakan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan kepada PGA.

“Malah siasatan lanjut yang dijalankan juga mendapati kesemua PATI itu mengaku ingin keluar dari negara ini melalui jalan laut secara haram.

“Kesemua PATI berkenaan kini ditahan dan berjaya direman selama 14 hari untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah. -MalaysiaGazette