KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Program Sentuhan Maya atau pasukan “duta online” demi mempromosikan produk dan perkhidmatan KPKT dengan lebih baik.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, objektif program yang dilaksanakan dalam kalangan warga kementerian itu adalah untuk menyampaikan mesej jelas kepada rakyat mengenai program-program, produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPKT dan agensi dibawahnya.

Katanya, program tersebut tidak melibatkan kos tambahan sebaliknya duta-duta secara dalam talian yang terlibat adalah sukarelawan kementerian berkenaan.

“Program ini bertujuan untuk membina kapasiti dalam penjawat awam dalam penggunaan media sosial dan teknologi komunikasi baru khususnya dalam era digitalisasi kini,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, dalam masa yang sama inisiatif tersebut  memberikan ruang  duta-duta dalam talian menyuarakan pendapat secara terbuka dan kreatif mengenai perkhidmatan kerajaan.

Semalam bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pelantikan 200 ‘duta dalam talian’ membabitkan kakitangan kementerian itu dilihat sebagai tindakan merugikan kerana masa penjawat awam terbabit seharusnya diguna untuk mengendalikan tugas hakiki.

Beliau turut mengetengahkan kebimbangan mengenai kemungkinan fungsi kakitangan kerajaan terbabit akan berubah menjadi jentera politik kepada parti pemerintah.

Mengulas lanjut menurut Nga, latihan turut disediakan oleh Unit Korporat dan Komunikasi KPKT untuk membantu penjawat awam menguasai media sosial masing-masing sekali gus mengisi masa terluang selepas waktu kerja.

“Program dalaman ini turut membantu membina imej positif kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih serta menangkis fitnah yang berleluasa,” jelasnya.

Katanya, antara inisiatif KPKT mesra rakyat yang patut dipromosikan adalah seperti MyKiosk 2.0, sistem TEDUH Jabatan Perumahan Negara, kandungan pendidikan seperti cara menggunakan alat pemadam api dengan betul dan sebagainya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast