KUALA LUMPUR – Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) menafikan kenyataan kerajaan kononnya mereka menyalahguna subsidi diesel hingga berlaku ketirisan dua bilion liter diesel tahun lalu.
Penasihatnya, P. Saravenan yang kesal dengan perkara itu berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, kerajaan diminta untuk membawa hal tersebut kemuka pengadilan.
“Kami difahamkan ada menteri yang mengatakan pengusaha trak tunda ini telah menyalahgunkana subsidi diesel. Siapa mereka? Kalau ada salah guna, bawalah ke muka pengadilan sekiranya mereka sudah tahu (dalangnya).
“Ambil tindakan pada mereka atas pertuduhan pengubahan wang haram. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kami adalah pembayar cukai pada kerajaan,” katanya pada pemberita.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendakwa sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan dikenalpasti antara yang mungkin menyalahguna sehingga dua bilion liter diesel bersubsidi tahun lalu.
Tambah Saravenan, sekiranya kerajaan masih menafikan hak mereka untuk mendapatkan subsidi diesel, Persatuan 1MTTCC tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.
Mengenai kenaikan harga khidmat tunda kenderaan yang tular baru-baru ini, katanya, ia disebabkan mereka tidak tersenarai dalam penyelarasan subsidi diesel pada 10 Jun lalu.
“Kami kerja siang dan malam, tidak pernah duduk rumah sebab dapat panggilan kecemasan sahaja kami akan terus pergi ke lokasi pelanggan. Ditambah kami juga kerja di tepi jalan.
“Separuh daripada persatuan ini adalah syraikat enterprise bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kalau syarikat enterprise ini, nak beli lori baharu perlu buat pinjaman bank.
“Kadar faedah pula kini adalah 4.9 peratus tapi kami boleh bayar dan kerja kuat. Kami cuma minta dan rayu pada kerajaan sedekah subsidi diesel pada kami,” jelasnya. – MalaysiaGazete