Gambar tular di media sosial menunjukkan kedai samun di pusat beli belah terkemuka di daerah Kajang disamun suspek bertopeng dan berpakaian pengawal keselamatan serta bersenjata api merompak emas dalam kejadian sekitar 3.17 petang hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menganggarkan emas yang disamun di pusat beli-belah di Metro Kajang semalam bernilai RM3.2 juta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, siasatan masih diteruskan dan suspek masih diburu.

polis dalam kes berkenaan dan suspek masih diburu polis.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan lagi” katanya secara ringkas selepas dihubungi hari ini bagi mengulas kejadian samun kira-kira jam 3.17 petang semalam.

Namun, tujuh saksi telah dipanggil dan telah selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Saksi kejadian termasuk kakitangan yang berada di kedai emas semasa kejadian berlaku dan akan ada beberapa orang saksi-saksi lain lagi akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Dalam satu kenyataan semalam, Mohamad Nasir mengesahkan empat suspek lelaki berpakaian seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap serta bersenjata api dan tukul besi telah merompak kedai emas yang terletak di Plaza Metro Kajang.

Polis menerima panggilan orang awam mengenai kejadian samun itu jam 3.30 petang.

Suspek bertindak memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi lalu mengambil barang kemas.

“Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis, sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan pusat beli belah tersebut,” katanya.

Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian. – MalaysiaGazette