Anwar berbual bersama Erdogan menerusi panggilan telefon semalam. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR –Malaysia dan Turkiye sepakat untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza, Palestin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, perkara itu merupakaan antara yang dibincangkan bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan menerusi perbualan telefon, semalam.

“Presiden Erdogan turut berkongsikan pengalamannya dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Sidang Kemuncak G7 di Itali yang dihadiri beliau baru-baru ini,” katanya.

Selain mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, Perdana Menteri turut mengulangi jemputan kepada Erdogan untuk melawat Malaysia pada Julai atau Ogos tahun ini.

Anwar turut memberi jaminan lawatan itu akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye yang mula terjalin pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara.

Menerusi hantaran lain, Anwar memberitahu beliau menerima ucapan Aidiladha daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang turut mengutuskannya kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ujarnya, mereka senada berpendapat, keamanan dunia bergantung kepada nilai kebersamaan antara satu sama lain sambil menerapkan prinsip kemanusiaan, ihsan serta pengorbanan dalam membina sebuah negara maju.

“Saya juga bersetuju dengan PM Modi yang menyentuh aspek budaya dan warisan turun menurun dalam menghormati satu sama lain perlu terus dijulang dan diraikan di seluruh pelosok dunia ketika meraikan hari mulia ini.

“Mendoakan agar PM Modi terus diberikan kesihatan yang baik selain hubungan Malaysia dan India terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya. – MalaysiaGazette