KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan supaya kerajaan memperuntukkan 3,000 liter kuota subsidi diesel sebulan bagi setiap unit kenderaan pelancongan di negara ini.

Presidennya, Nigel Wong berkata, peruntukan itu bagi membantu pengusaha van dan bas pelancongan dalam meringankan beban kewangan susulan kenaikan harga diesel, sekaligus memastikan industri terus berdaya saing.

“Dengan melaksanakan langkah ini, kami percaya industri kami akan lebih bersedia untuk terus menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Malaysia, di samping memastikan pelancong menerima pengalaman hebat yang diharapkan di negara ini.

“Kami percaya kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan (MOTAC) akan mempertimbangkan cadangan kami untuk menyokong industri pelancongan dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wong juga berkata, penamatan rasionalisasi dasar dan kenaikan harga diesel telah memberi kesan yang ketara kepada pengusaha van dan bas pelancongan termasuk industri itu sendiri.

“Peningkatan ini telah menyebabkan beban kewangan besar kepada sektor kami, mencabar keupayaan kami untuk mengekalkan harga kompetitif dan menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelancong kami, antarabangsa dan domestik,” katanya.

Katanya lagi, cadangan itu bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) tidak terjejas dan bagi mengelakkan kesan-kesan sampingan termasuk dari segi perkhidmatan dan kos operasi.

“MOTAC menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pelancong asing ke Malaysia. Subsidi bahan api adalah penting untuk mengurangkan tekanan kewangan kepada pengendali, menyokong daya saing dan memastikan kejayaan kempen

“Kami memahami objektif Kerajaan Madani dan kami menyokongnya sepenuhnya. Bagaimanapun, industri memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan kewajipan kontrak yang dimiliki oleh ramai ejen.

“Tempoh tangguh akan membolehkan pengendali pelancongan memenuhi komitmen sedia ada ini tanpa segera menanggung kerugian daripada peningkatan kos bahan api,” katanya lagi. – MalaysiaGazette