Mohammad Hadi mengagihkan daging korban pada Majlis Korban Perdana Al Bayan Bersama Mualaf di tapak bina Kompleks Akademi Al Bayan, Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Sebahagian daripada kira-kira 100 mualaf di negeri ini teruja apabila dapat menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di sini hari ini.

Zulkifli Abdullah, 34, berkata, walaupun memeluk Islam sejak 15 tahun lalu, ini adalah kali pertama dia berpeluang membantu memotong dan melapah daging bersama-sama asnaf, mualaf dan penduduk kampung lain.

“Perasaan gembira itu sukar digambarkan kerana dapat bergotong royong dalam suasana begini.

“InsyaAllah, jika diberi peluang tahun hadapan saya mahu menyembelih ternakan korban pula selepas menyertai kursus,” katanya.

Orang Asli dari suku Temuan itu ditemui pada majlis Korban Perdana Al Bayan Bersama Mualaf di tapak bina Kompleks Akademi Al Bayan, Kampung Pegoh di sini hari ini.

Bagi Jenah Sulak, 61, penyertaannya dalam ibadah korban kali ini dapat meningkatkan lagi kefahamannya terhadap pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail.

“Sebelum ini, kita sering baca kisah Baginda Nabi sahaja, tapi hari ini dapat menghayatinya dengan lebih mendalam,” katanya.

Zulkifli (depan) teruja dapat melapah daging korban pada Korban Perdana
Al Bayan Bersama Mualaf di tapak bina Kompleks Akademi Al Bayan, Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka hari ini.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Akademi Al Bayan Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, tiga ternakan termasuk dua ekor kambing diniatkan atas nama mualaf pada program berkenaan yang diagihkan kepada 100 mualaf selain 60 asnaf serta penduduk kampung.

“Lebih bermakna apabila golongan mualaf juga diberi pendedahan ilmu bagaimana ibadah korban ini dilaksanakan mengikut hukum syarak.

“Lazimnya korban diraikan bersama asnaf serta fakir miskin sedangkan golongan mualaf juga perlu diberi pendedahan untuk meningkatkan lagi pemahaman tentang ibadah ini serta proses penyembelihan korban itu sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan Kompleks Tahfiz Anak-Anak Mualaf yang pertama di Asia Tenggara itu, Mohammad Hadi berkata, ia sudah 40 peratus siap.

“InsyaAllah, baki 60 peratus lagi kompleks bernilai RM25 juta ini dijangka siap menjelang akhir tahun depan sebelum mula beroperasi pada 2026

“Orang ramai yang ingin merebut pahala bersama Al Bayan, bolehlah menyumbang ke akaun bank Pertubuhan Akademi Al Bayan iaitu di nombor akaun Maybank 5642 5861 7368,” katanya. – MalaysiaGazette