Ahmed Razman Abdul Latiff

LANGKAH mengapungkan harga diesel mengikut harga pasaran menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang menyambutnya dengan tangan terbuka kerana pendekatan tersebut dapat menyelamatkan wang negara sekurang-kurangnya RM4 bilion setahun daripada penyangak dan penyeludup.

Lebihan itu kemudiannya boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk  Sumbangan Asas Rahmah yang telah dinaikan dari RM600 kepada RM1,200 setahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pun begitu ada yang bising terutama kumpulan yang mempunyai pendapatan tahunan lebih RM100,000 dan selama ini menikmati subsidi diesel walaupun jumlah pendapatan tahunan mungkin mencecah ratusan ribu!

Apabila penyasaran subsidi dilaksanakan, kelas pendapatan  dan tidak mempunyai sebarang perniagaan melibatkan pengangkutan diesel tidak layak memohon bantuan tunai RM200 sebulan di bawah BUDI Individu.

Menurut Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, walaupun kumpulan ini mempunyai hak bersuara namun mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk mendesak kerajaan memberikan subsidi atau bantuan tunai.

“Kalau mereka mahu subsidi juga bukan sesuatu yang harus kerajaan pertimbangkan sebab kita tahu mereka ini mampu untuk membayar peningkatan kos diesel.

“Kenderaan yang mereka beli bukan harga biasa dan murah. Kebiasaan jentera yang menggunakan diesel berkapasiti besar dan harganya mahal.

“Jadi kalau mereka mampu membeli kenderaan sewajarnya mereka mampu untuk membayar harga diesel yang kalau dilihat naik RM3.35 sen, negara lain harga lebih tinggi berbanding harga yang diapungkan ini,” jelas Ahmed Razman.

Gambar hiasan

Kata beliau, kumpulan berpendapatan lebih RM100,000 setahun ini telah sekian lama menikmati subsidi secara senyap.

Justeru subsidi bersasar dan pengapungan harga diesel secara tidak langsung menyedarkan kumpulan itu bahawa kedudukan sebenar ekonomi mereka adalah lebih baik berbanding B40 dan M40.

“Selama ini subsidi yang diberikan oleh kerajaan bersifat pukal. Sekarang ini masih banyak lagi barang menerima subsidi seperti minyak paket, telur ayam dan air. Malah tarif elektrik pun hanya 5 peratus kena bayar lebih itu pun kalau penggunaan tinggi.

“Disebabkan sudah menjadi kebiasaan menikmati harga yang murah termasuk RON 95 maka apabila kerajaan mahu mengurangkan ketirisan dan ada subsidi pukal ditarik balik maka berlaku kejutan yang disangka  akan berlaku peningkatan kos dalam perbelanjaan seharian mereka,” katanya.

Ahmed Razman berkata, bagaimanapun reaksi kejutan kumpulan berkenaan hanya bersifat sementara dan mereka akhirnya akan akur dengan realiti.

Seorang pengguna diesel menunjukkan resit minyak diesel yang dibelanjakan berikutan tiada lagi subsidi diesel mulai esok ketika tinjauan MalaysiaGazette di Teluk Panglima Garang, Klang. Foto SADIQ SANI, 09 JUN 2024

Pakar ekonomi itu menambah, tindakan kerajaan mengetepikan kumpulan berpendapatan lebih RM100,000 setahun daripada mendapat bantuan tunai diesel adalah tepat.

Ini kerana ketika beberapa lapisan rakyat berhadapan dengan kos ekonomi yang meningkat golongan T20 tetap menjalani hidup selesa.

“Walaupun kata mereka membayar cukai, selepas melaksanakan tanggungjawab itu masih ada lebihan yang membolehkan mereka hidup dengan selesa. Berbanding golongan B40 pula walaupun tidak ada potongan cukai pun mereka tidak ada lebihan pendapatan.

“Kalau golongan ini kata bayar cukai memang itu perlu mereka lakukan. Pendapatan kekayaan mereka tinggi dan terdapat jurang yang lebar dengan B40. Tindakan ini tidak menyebabkan mereka miskin, sebab masih hidup selesa.

“Oleh kerana itu saya lihat kalau mereka bising-bising pasal diesel ia adalah reaksi sementara kerana mereka masih mampu menggunakan kenderaan diesel dan menguruskan perbelanjaan yang meningkat,” kata beliau.

Sementara itu Ahmad Razman mengandaikan pemilik syarikat atau lori yang tidak mahu memohon fleet card melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 adalah untuk menyorok maklumat syarikat sekali gus bagi mengelakkan pembayaran cukai.

Kumpulan itu juga mahu mengambil peluang untuk mengenakan harga yang tinggi dengan alasan kos meningkat dengan pengapungan harga diesel.

Pelbagai taktik digunakan untuk penyelewengan diesel.

“Tetapi kita ada Akta Pencatutan. Kalau berlaku situasi peniaga mengenakan harga yang tinggi maka pengguna boleh membuat laporan.

“Kalau mereka tidak mengambil subsidi maka jika mereka letakkan harga tinggi tetapi syarikat lain mampu meletakkan harga rendah maka mereka juga rugi sebab pembeli akan memilih perkhidmatan yang menawarkan harga yang lebih rendah,” jelasnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali tidak berdiam diri apabila terdapat beberapa syarikat yang mengumumkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

Mereka yang menikmati subsidi diesel menerusi fleet card tetapi dengan beraninya mengumumkan kenaikan harga bakal menerima padah menerusi OPS KESAN 2.0 yang telah bermula sejak 8 Jun 2024.

Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform- platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan- peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pada masa yang sama, berdasarkan kenyataan-kenyataan yang viral di media sosial, KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek;

1. Bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit. Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen

2. Bagi sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun 2024, KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang. Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini.

Pengguna perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan alasan penyasaran subsidi diesel.

Setakat ini 10 syarikat yang mengumumkan kenaikan harga susulan penyasaran subsidi diesel akan dipanggil, dan amat mengejutkan empat daripada syarikat tersebut telah pun diluluskan permohonan fleet card mereka!

Ahmed Razman berkata, rakyat perlu sentiasa diberi pemahaman dan kesedaran  bahawa apa yang kerajaan lakukan adalah untuk memastikan peruntukan perbelanjaan tahunan sampai kepada golongan sepatutnya.

Pengguna wajib menggunakan hak mereka dengan segera membuat aduan atau laporan kepada KPDN jika mendapati sebarang kenaikan harga barangan atau pun perkhidmatan dengan alasan penyasaran subsidi diesel.

Pengguna perlu bijaksana kerana tanpa laporan bermakna mereka ‘rela’ menjadi mangsa peniaga-peniaga yang tamak menangguk di air keruh dan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan sedangkan mereka telah menikmati pelbagai kemudaan dan faedah yang disediakan.

Justeru, jika anda tahu wujudnya penyelewengan senyap mahu pun nyata, jangan bertangguh sila laporkan segera kepada pihak berkuasa di talian 012-6654292.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin lalu mengumumkan harga diesel diapung mengikut harga pasaran iaitu RM3.35 seliter.

Kerajaan telah memperkenalkan SKDS 2.0 sejak Januari bagi subsidi diesel kepada 6 syarikat dan 30 jenis kenderaan serta pemberian BUDI Peribadi kepada 300,000 pemilik kenderaan peribadi selain BUDI Agri- Komoditi kepada 200,000 petani dan pekebun kecil komoditi. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Jilat..jgn tak jilat..ni laa muka yg merosakkan nama IPT Malaysia..hari tu UPM juga yg buat cerita bangang tentang gambar kapal org Melaka…ni satu lg…UPM ni mmg ramai pensyarah bangang kaa? Kegagalan kerajaan yg lemah dlm mengekang penyeludupan diesel, maka rakyat seluruhnya kena tanggung beban…kalau tak boleh kawal penyeludup, berhenti jadi kerajaan..bebal punya alasan…ko harap laaa dgn Menteri KPDNKK dari Sabah tu..sebab tu lah Sabah yg kaya dgn minyak tp negeri masih miskin…sebab ada pemimpin politik bebal mcm ni laaa

  2. Ohh lg satu aku nak bgtau pensyarah UPM yg rasanya baru keluar dari gua ni…org kaya..org T20 dia tak pakai kereta diesel Toyota Hilux…org kaya pakai Mercedes, BMW, Lamborgini atau paling tidak pun Camry mcm PM pakai tu..tak pun Alphard mcm Menteri2 Kerajaan tu…yg pakai diesel ni peniaga spt peniaga sayur, pemborong ikan & ayam.. yg akan naikkan harga ikan & ayam bagi tampung kos bahan api..akhirnya rakyat miskin yg tak pakai Hilux pun kena bayar kenaikan harga ikan & ayam..tu sbb kos harga barang zaman ni semua mahal…Cuma yg pelik cakap psl T20 dan org kaya ni…road tax kereta mahal mcm Tesla tu ko turunkan plak yer…

  3. Sudah sudah lah memusuhi golongan mahakaya dan T20. Mcm lah diorg ni hanya korek harta negara tanpa bagi apa apa manfaat kpd negara. Diorg kaya sbb diorg usaha lebih, fikir lebih dan sanggup ambil risiko berbanding yg lain.
    Sepatutnya gomen usah memusuhi golongan ini sebaliknya bagi kemudahan lain kepada mereka. Mereka mungkin tak perlukan subsidi diesel tu tp berilah kemudahan2 lain spt kemudahan pinjaman perniagaan, geran bisnes, potongan cukai tambahan. Pelik sungguh lah gomen skrg ni. Semua pun nak buat musuh. Masa nak pilihanraya, lembut lidah semua org pun jd saudara dia.

Comments are closed.