Santhara Kumar bersama Md Yusof Yahya menyerahkan surat dan memorendum rayuan permohonan diesel subsidi untuk trak tunda kepada Dr Dominic Lau di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani digesa untuk memberikan subsidi diesel kepada Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC).

Penasihatnya, P. Saravenan berkata, sejak pengumuman penyasaran subsidi diesel dibuat pada 10 Jun lalu, pengusaha trak tunda di negara dilihat seperti dianaktirikan oleh kerajaan.

“Kami memang amat terbeban dengan perkara ini di mana diesel bukan naik 20 sen atau 30 sen tapi naik mendadak RM1.20 hingga menjadikan operasi berkurangan sebanyak 50 peratus.

“Kalau kita bagi tahu pengguna, mereka akan berfikir banyak kali untuk mengambil perkhidmatan tunda kenderaan disebabkan harga yang naik sekali ganda.

“Diikutkan kami tidak boleh menaikkan harga caj sebab sudah ada  garis panduan ketetapan pada 2018 iaitu satu kilometer hingga 10 kilometer adalah RM150,” katanya.

P. Saravenan bercakap pada sidang media berhubung kesan harga diesel tanpa subsidi kepada lebih 1,500 penunda kereta di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai langkah penyasaran subsidi diesel di sini hari ini yang turut dihadiri bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Santhara Kumar dan Senator Datuk Dr Dominic Lau.

Saravenan menambah, lebih 1,000 ahlinya di seluruh negara terkesan dengan kenaikan harga subsidi diesel yang amat membebankan berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Kami bukan kaya sangat dan kami juga pembayar cukai dan kos membaiki kenderaan juga meningkat yang mana harga tayar sebelum ini RM550 kini perlu bayar RM650 mana kerajaan kata harga barang tidak naik.

“Susulan itu, kita merayu pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan pihak yang terlibat untuk menilai semula kelayakkan kami dalam mendapatkan bantuan subsidi diesel seperti fleet card,” ujarnya.

Md Yusof Yahya bercakap pada sidang media berhubung kesan harga diesel tanpa subsidi kepada lebih 1,500 penunda kereta di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

Sementara itu, Presiden 1MTTCC, Md Yusof Yahya berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada perdana menteri untuk mempertimbangkan rayuan mereka berhubung perkara itu.

“Persatuan kami juga sudah menghantar e-mel kepada perdana menteri  dan  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berhubung surat kami.

“Kami juga akan meminta senator Dominic Lau mewakilkan kami untuk menghantar surat tersebut,” jelasnya.

Penasihat Persatuan Tunda Kereta Malaysia, Datuk Seri Santhara Kumar bercakap pada sidang media berhubung kesan harga diesel tanpa subsidi kepada lebih 1,500 penunda kereta di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

Dalam pada itu, Santhara menambah, pengusaha trak tunda acap kali tercicir dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan sejak sekian lama berhubung perkara ini.

“Ia merupakan satu perkara yang harus diberi perhatian dan menjadi harapan agar perdana menteri untuk meneliti semula perkara ini dan kerajaan perlu bersikap adil kepada mereka.

“Saya juga difahamkan, kalau Anwar nak beri sedekah ini, berikanlah pada persatuan dan pengusaha trak tunda,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan  Anwar yang juga Menteri Kewangan subsidi umpama sedekah daripada kerajaan pada tahun lalu. – MalaysiaGazette