Pelbagai protes telah dilakukan oleh penduduk setempat sejak tahun lalu namun tidak ada perkembangan positif berkaitan projek di Batu Arang ini.

KUALA LUMPUR – Projek pembinaan loji rawatan termal atau insinerator di Batu Arang Rawang, Selangor didakwa tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat penduduk setempat.

Difahamkan projek itu telah pun bermula awal bulan ini.

Ketua Bersekutu Bersatu Selayang, R. Rejean Kumar mendakwa lebih 100,000 penduduk sekitar akan terjejas selain membantutkan pembangunan pesat yang sedang dilaksanakan di kawasan Rawang.

Antara lokasi dipercayai terjejas termasuklah Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Country Home dan M Residence di Rawang.

Rajean Kumar Ratnam.

“Kita sangat berharap melalui pelbagai protes sejak tahun lalu projek ini akan dihentikan.

“Tidakkah anda sedar projek ini akan menyebabkan bau busuk daripada sisa buangan selain menjadi punca kesesakan lalu lintas kerana trak sampah dalam jumlah yang banyak akan melalui kawasan ini setiap hari?

“Ini juga akan menyebabkan nilai tanah dan hartanah akan susut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, penduduk bimbang projek berkenaan akan memberi impak sosial kerana ia berdekatan rumah ibadat, kediaman dan sekolah.

Kata Rejean, pembakaran sisa sampah itu juga dibimbangi akan memudaratkan kesihatan penduduk dan alam sekitar berikutan pelepasan toksik yang membawa kepada pencemaran.

“Sebenarnya masih tidak terlambat untuk pihak berwajib mendengar keluhan kita. Insenarator bukanlah cara pengurusan sisa terbaik jika hendak dibandingkan dengan kitar semula dan guna semula mengguna pakai teknologi digital.

“Ini juga antara cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini,” ujarnya.

Difahamkan projek itu bakal menampung 2,400 tan sisa pepejal daripada enam pihak berkuasa tempatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast