Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin dan Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berjabat tangan selepas memeterai MoU baru-baru ini.

KUALA LMPUR – Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) bakal menyaksikan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah universiti khususnya dalam bidang perubatan.

Kedua-dua universiti ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman baru-baru ini di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM bersama Profesor Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman, Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

Permulaan kerjasama ini akan membuka peluang kepada pelajar Asasi UCMI untuk melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Fakulti Perubatan UiTM dengan penawaran biasiswa penuh MAIWP melalui saluran komersial yang dinamakan UiTM Seat Plus.

Saluran komersial ini merupakan saluran baharu yang diperkenalkan dan melibatkan beberapa Fakulti di UiTM dengan program pengajian ditawarkan dengan kadar yuran pengajian tanpa subsidi.

Menerusi perjanjian ini juga, kerjasama pendidikan bagi program peringkat pascasiswazah Fakulti Perubatan UiTM juga dapat dijalinkan disamping pertimbangan bagi perancangan kerjasama dengan fakulti, kolej pengajian dan pusat akademik di UiTM selaku universiti kompehensif yang terbesar di Malaysia yang mempunyai 34 kampus, empat kolej pengajian dan 14 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara yang berpotensi tinggi kepada UCMI pada masa akan datang. – MalaysiaGazette