KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel RM3.35 seliter memberi kesan besar kepada setiap kelompok masyarakat yang bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi negara.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Negeri Sembilan, Aiena Ferdaus berkata, penyelarasan subsidi bersasar diesel hanya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap janji Pakatan Harapan (PH) yang mahu menurunkan harga minyak jika diberi mandat.
“Laungan kata-kata keramat politik ‘menang hari ini, esok minyak turun serta-merta’ kerap diulangi dengan melontar pelbagai retorik formula, namun kini ia umpama hangat-hangat tahi ayam.
“Kerajaan Madani hanya memberi alasan mudah kononnya untuk mencegah penyeludupan diesel di Semenanjung Malaysia sedangkan dasar subsidi itu hanya menimbulkan persoalan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ainea berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan tindakan penguatkuasaan di sempadan negara bagi membendung penyeludupan diesel berbanding langkah menarik subsidi.
“Ia suatu langkah tidak popular yang menekan rakyat ketika situasi ekonomi tidak begitu memberangsangkan dan peningkatan harga barangan keperluan,” katanya.
Beliau melahirkan rasa kesal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak lain yang mempersoalkan isu kenaikan harga diesel.
“Jika hari ini beliau mengatakan menghapuskan subsidi minyak demi menyelamatkan negara?
“Adakah Perdana Menteri mengakui ucapan beliau ketika menjadi pembangkang yang menentang penghapusan subsidi berniat untuk merosakkan negara?” katanya.
Selain itu katanya, bantuan subsidi bahan api melalui Budi Agrikomoditi kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil hanya sesuai untuk kereta yang memiliki kuasa enjin kecil serta melakukan perjalanan jarak dekat sahaja.
“Syarat yang ditetapkan kepada petani itu sangat tidak munasabah apabila mensyaratkan mereka perlu mempunyai jualan sehingga RM4,166 sebulan sahaja layak mendapat subsidi minyak.
“Manakala pekebun kecil di luar sana tidak dapat memenuhi syarat untuk menerima subsidi tersebut seterusnya menekan kehidupan mereka dengan biaya operasi semakin tinggi dan harga pasaran yang rendah,” katanya.
Tambahnya, meskipun kerajaan mengambil jalan penyelesaian dengan memberi bantuan tunai melalui Budi Madani (BUDI) sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, namun ianya masih lagi tidak mencukupi.
“Kehidupan mereka akan terus terbeban kerana RM200 sebulan sememangnya tidak mencukupi memandangkan harga barang pun sudah naik lebih hampir sekali ganda.
“Kebanyakan masyarakat terpaksa menanggung kerugian apabila kerajaan mula menaikkan harga diesel dan sudah tentu syarikat-syarikat minyak membuat keuntungan besar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai tunggang-langgang kerana tidak memikirkan kesannya kepada setiap lapisan masyarakat.
“Rakyat kini mula membuka mata dan melihat sendiri siapa pemimpin yang benar-benar bercakap benar serta siapa yang hanya bersifat retorik semata-mata.
“Oleh itu kerajaan harus meminimakan kesan rantaian penghapusan subsidi minyak diesel yang bakal mengakibatkan kos sara hidup rakyat meningkat berkali ganda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Kalau tak turun PM dan Menteri Ekonomi lsh kena turun. Kalaubtak rakyat akan turun