KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, MoU tersebut inisiatif lanjutan daripada Perjanjian dalam Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah ditandatangani di antara kedua-dua negara pada 4 Oktober 2013.
Kerjasama dua hala itu dilihat bakal menyumbang kepada pemerkasaan bakat berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu memacu pembangunan industri strategik berimpak tinggi dalam negara.
“Jalinan kerjasama khusus kepada pertukaran kepakaran dan penyelidikan dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) ini dijangka dapat memberi nilai tambah yang bermanfaat kepada keduadua negara selain menarik kerjasama penyelidikan yang lebih meluas serta menggalakkan kemajuan saintifik dan pembangunan ekonomi dua hala yang lebih kukuh,” katanya menerusi kenyataan.
Kata Lih Kang, MoU itu dimeterai sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia yang bermula semalam 18 hingga 20 Jun ini.
Menurut beliau, perjanjian itu sebelum ini memberi tumpuan khusus kepada pertukaran kepakaran sains dan teknologi.
“Langkah ini adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan industri yang dipacu inovasi dan melibatkan aktiviti-aktiviti nilai
tambah yang lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, MOSTI selaku peneraju STI negara juga telah menetapkan bidang-bidang keutamaan yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high growth high value -HGHV) terutamanya industri berasaskan teknologi seperti hidrogen, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi
dan teknologi angkasa.
“Melalui MoU ini MOSTI akan menerajui skop-skop kerjasama yang merangkumi program pertukaran saintis dan penyelidik, kolaborasi antara institusi-institusi penyelidikan serta penganjuran bersama program dan persidangan akademik dengan keterlibatan saintis dan penyelidik antarabangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette