Istana Kehakiman, Putrajaya

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Sabah berharap Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada November 2022.

MalaysiaGazette melaporkan kebenaran semakan kehakiman itu telah diputuskan sebulat suara oleh tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Ghazali dan Datuk Choo Kah Sing.

Panel hakim juga sebulat suara menolak rayuan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membatalkan semakan kehakiman oleh SLS ini.

Hari ini dalam kenyataan, PH Sabah melahirkan hasrat supaya permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS itu didengar di mahkamah mengikut meritnya.

“Kita berharap bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu dan biarkan permohonan semakan kehakiman SLS didengar mengikut meritnya.

“PH Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan dalam menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang benarkan pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman SLS untuk menguatkuasakan kelayakan perlembagaan 40 peratus Sabah.

“Kita sentiasa mengambil kedudukan bahawa sesiapa saja layak untuk mengemukakan sebarang pertikaian perlembagaan ke mahkamah,” katanya.

Kerajaan Persekutuan sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 November 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman berhubung perkara itu bagi memaksa hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu dipulangkan seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 11 November 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -MalaysiaGazette