Fuziah Salleh (tengah) menyampaikan bakul Rahmah pada Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah Madani di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Tidak tahu layak menerima ‘fleet card’ menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 merupakan punca banyak pemilik kenderaan barangan tidak membuat permohonan bagi penyasaran subdisi diesel.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kira-kira 180,000 kenderaan barangan yang layak masih belum memohon kelulusan penyasaran subsidi diesel.

“Berdasarkan statistik sebanyak 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun setakat ini hanya 209,000 saja telah membuat permohonan.

“Sehubungan itu, kita gesa baki 180,000 kenderaan barangan yang layak untuk segera membuat permohonan kerana mana-mana kenderaan yang termasuk dalam senarai 23 kategori pengangkutan barang itu akan mendapat kelayakan serta-merta.

“Banyak kenderaan tidak mendaftar kerana mungkin mereka ingat tidak layak atau mereka hanya mempunyai satu, dua kenderaan serta rasa susah. Namun saya nak tegaskan satu, dua atau tiga kenderaan pun mereka layak..tiada syarat bahawa mereka perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat untuk layak,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Fuziah Salleh

Terdahulu, Fuziah menghadiri Program Bijak Belanja Pengguna dan Jualan Rahmah Madani di Simpang Ampat di sini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pemberian subsidi berjumlah RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan, Fuziah berkata, Fleet Card bagi kenderaan pengangkutan barang tiada kuota setakat ini.

“Penyasaran subsidi diesel di bawah KPDN ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Jadi ini berbeza dengan dua lagi (Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi).

“Setakat ini, tiada kuota ditetapkan menerusi Fleet Card dan ia mengikut keperluan syarikat tersebut kerana kebiasaannya kita faham logistik barangan membuat penghantaran jauh contohnya dari utara ke selatan.

“Selain itu, kita juga buka ruang perbincangan bagi kenderaan yang tidak tersenarai dalam sistem,” katanya. – MalaysiaGazette