Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis hari ini melaporkan sebanyak 29 kes kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan pada sambutan Hari Raya Aidiladha 17 dan 18 Jun lalu di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, dalam tempoh dua hari itu sebanyak 2,976 kes kemalangan telah dilaporkan.

Angka kemalangan itu melibatkan sebanyak 3,818 buah kenderaan dalam nahas jalan raya.

“Pada Isnin (17 Jun) sahaja, JSPT menerima sebanyak 1,158 kes kemalangan membabitkan 11 kematian manakala pada hari kedua sambutan Aidiladha, angka kemalangan itu terus meningkat dengan merekodkan 1,818 kes dan 18 kes maut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Nasri, jumlah kes kemalangan dan angka maut itu sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 660 kes kemalangan dan tujuh kematian dicatatkan dalam tempoh dua hari tersebut.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa bekerjasama kepada pihak berkuasa mematuhi peraturan di atas jalan raya tanpa kompromi selain berhemah dan berhati-hati ketika memandu.

“Pastikan sentiasa fokus kepada pemanduan selain mesti bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri dan pengguna lain sentiasa terjamin semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas,” ujarnya.

Sebelum ini, JSPT memberitahu pihaknya akan menyiarkan statistik kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian serta secara real time bermula 15 Mac lalu.

Penyiaran data statistik kepada umum secara tepat sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai mengenai betapa seriusnya kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada setiap hari dan komitmen polis dalam mengurangkan nahas tersebut.- MalaysiaGazette